Panduan Cara Solat Di Dalam Kapal Terbang
Solat Dalam Pesawat
Kaedah menunaikan solat fardhu di atas pesawat terbang adalah sama dengan kaedah solat di darat. Hanya apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain, iaitu:
|
Cara Bersolat Dalam Kapal Terbang |
1. Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jikalau ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai. Satu alternatif lain ialah memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita dan berusaha menolong berbanding dengan syarikat penerbangan non muslim. 2. Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.
|
Solat Di Dalam Kapal Terbang |
3. Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.
4. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda 'Pasang tali pinggang keselamatan' atau 'Fasten seat belt' maka sebaiknya ialah duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang. Memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama malah akan dipertangunggkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.
5. Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
Jikalau terdapat dua pilihan, satunya ialah boleh menghadap ke arah qiblat tetapi solatnya harus secara duduk manakala yang kedua ialah boleh solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap qiblat melainkan di takbir yang pertama maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap qiblat sekalipun secara duduk kerana solat secara duduk sememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas di kala kesukaran manakala solat tanpa menghadap qiblat dengan sempurna adalah satu kebolehan yang diijtihadkan. Sila ulangkaji dan bandingkan huraian antara bab ini dengan bab sebelum.
Jikalau terdapat dua pilihan di mana kedua-duanya boleh didirikan solat secara sempurna, pilihan pertama ialah solat di atas pesawat manakala pilihan kedua ialah solat di atas darat maka kedua-duanya mempunyai keutamaan yang sama tarafnya. Dalilnya ialah riwayat berikut: Abdullah bin Abi Utbah radiallahu-anhu menerangkan - Aku pernah menyertai Jabir bin Abdillah, Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah radiallahu-anhu dalam satu kapal. Maka mereka bersolat secara berdiri berjamaah, yang seorang mengimami yang lain padahal mereka sanggup mendarat di pantai.
Akan tetapi hendaklah diutamakan suasana yang memungkinkan solat itu didirikan di awal waktu mengingatkan keafdalannya dan tambahan lagi mungkin sahaja solat yang tangguhkan itu akan terhalang oleh sesuatu yang tidak dijangka.
<Via - K-Masjid>
Artikel keren lainnya:
Belum ada tanggapan untuk "Panduan Cara Solat Di Dalam Kapal Terbang"
Posting Komentar