ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya menghadapi masalah gastrik kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 10 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang-alik hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda. Bolehkah Haji Lokman memberi ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan atau membantu meringankan penyakit saya ini?
n Haji Iskandar, Kulai.
Punca Sakit Gastrik : Cara Rawatan Moden Dan Al-Quran.
Jawapan:Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut.
Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kehilangan lapisan mukus pelindung perut. Punca gastrik : Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus tertentu.
Simptom gastrik : Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.
Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.
Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.
Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.
Rawatan moden : Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu.
Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.
Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.
Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.
Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.
Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.
Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.
Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.
Komplikasi : Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan.
Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.
Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut.
Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.
Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.
Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut.
Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.
Rawatan Al-quran : Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.
Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.
Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: “
barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar
” (HR. Bukhari).
Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.
Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
1. Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
2. Surah Ghafir ayat 41 hingga 55
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.
Penutup :Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.
Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut.
Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.
Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.
Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.
Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.
Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya.”
Belum ada tanggapan untuk "Punca Sakit Gastrik : Cara Rawatan Moden Dan Al-Quran "
Posting Komentar