Punca Ramai Rakyat Malaysia Enggan Pulang Bekerja Di Tanah Air | Pendapatan yang tinggi, peluang kerja profesional yang lebih baik, dan kehidupan yang sempurna menyebabkan ramai rakyat Malaysia di luar negara berat untuk pulang bekerja di tanah air.
Mengikut statistik agensi pencari bakat negara TalentCorp, seramai 2,500 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara berjaya dibawa pulang, namun jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan anggaran hampir sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara oleh Bank Dunia pada 2011.
TalentCorp ditubuhkan pada tahun 2011, bertujuan mencari bakat tempatan yang bekerja di luar negara, menerima hampir 4,000 permohonan setakat sepanjang tempoh tiga tahun.
"Ia kombinasi pelbagai faktor, pertama, kualiti kehidupan berhubung kait dengan pendapatan, kedua, peluang profesional dan faktor keselesaan hidup," kata Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp, Johan Mahmood Merican dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, jurang kualiti kehidupan tidak terlalu besar jika dibandingkan Malaysia dengan negara luar, kata Johan.
"Sebagai contoh, pendapatan di London memang tinggi, tetapi kita mesti tingkatkan kesedaran mereka mengenai kualiti hidup yang efektif selepas kos sara hidup, kadangkala jurang itu tidak terlalu besar," kata beliau.
Bagi peluang profesional, Johan menyifatkan Malaysia masih mampu menyediakan peluang terbaik kerana kedudukan ekonomi negara yang baik.
"Banyak negara membangun lain di dunia, ekonomi mereka secara relatifnya perlahan, tetapi Malaysia berkembang dengan kukuh," kata Johan.
"Bagi faktor ketiga, ia meliputi banyak sebab. Ia benar terdapat beberapa rakyat Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai pendidikan, jenayah, situasi politik."
Paling ramai pemohon program pulang ke Malaysia yang diperoleh Talent Corp adalah dari Singapura, disusuli United Kingdom, China, Australia dan Timur Tengah.
Menurut laporan Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berjumlah US$303.53 bilion (RM991.2 bilion) pada 2012.
Nilai KDNK Malaysia mewakili 0.49% ekonomi dunia.
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mensasarkan Malaysia mencapai status negara pendapatan tinggi menjelang 2020.
Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, Najib juga memperkenalkan langkah fiskal bagi mengurangkan defisit negara, namun ia memberi kesan kepada peningkatan inflasi.
Sebanyak RM65 juta diperuntukkan kepada TalentCorp sehingga 2013, bagaimanapun jumlah peruntukan besar menyebabkan agensi tersebut dikritik jika dibandingkan dengan jumlah bakat yang dibawa pulang.
"Talent Corp bukan sekadar membawa pulang pekerja di luar negara, kami mempunyai program lain seperti kebolehpasaran siswazah dan membantu bakat asing," kata Johan.
Sektor perkhidmatan perniagaan antara paling ramai yang dibawa pulang ke negara, diikuti dengan sektor minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, elektronik, teknologi maklumat dan kesihatan.
"Kami menyokong program transformasi ekonomi, bukan semata-mata program diluar negara.
"Kami membantu memacu ETP," kata Johan, menegaskan TalentCorp selari dengan matlamat kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Johan juga menjelaskan TalentCorp tidak memainkan peranan sebagai "ejen mencari kerja" kepada bakat yang dibawa pulang.
"Kami tidak beroperasi seperti pencari pekerjaan kerana kami adalah agensi kerajaan, kami tidak mencari kerja untuk mereka, terpulang kepada mereka untuk mencari kerja sendiri.
"Bagaimanapun kami sedar, rakyat Malaysia yang terlalu lama di luar negara mungkin tidak biasa dengan suasana profesional di Malaysia, jadi kami sedia membantu mereka untuk berhubung dengan ejen pencari kerja atau eksekutif," kata Johan.
Menyedari langkah membawa pulang bakat luar negara tidak mudah, Johan berkata TalentCorp menyediakan beberapa insentif untuk memudahkan mereka pulang ke Malaysia.
"Apabila terlalu lama di luar negara, sudah pasti sukar untuk mereka pulang. Sekurang-kurangnya hargai mereka dengan bentuk pemberian insentif.
"Insentif itu dengan syarat pemohon tersebut masih lagi bekerja di luar negara," kata beliau.
Antara insentif tersebut ialah pengecualian cukai ke atas kereta yang ingin dibawa pulang ke Malaysia oleh pemohon yang diterima di bawah Program Kepulangan Pakar (REP).
Johan juga berkata tidak wajar sesetengah pihak menghakimi prestasi TalentCorp hanya berasaskan kepada peruntukan agensi tersebut, malah banyak aktiviti lain yang dijalankan selain daripada hanya membawa bakat pulang ke Malaysia.
"Anda tidak boleh ambil jumlah keseluruhan peruntukan dan bahagikannya dengan satu aktiviti... kami mempunyai banyak aktiviti berbeza.
"Mungkin aktiviti kami kurang mendapat liputan, tetapi kami jelas menangani bakat dalam seluruh aspek yang berbeza," kata beliau.
Pada 2011, Laporan Bank Dunia mendedahkan Malaysia berdepan dengan penghijrahan bakat ke luar negara yang besar, hampir sejuta profesional warga Malaysia dilaporkan bekerja di luar negara.
Menurut laporan tersebut, penghijrahan tersebut berpunca daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara yang tidak seimbang, penghijrahan paling tinggi di kalangan kaum India dan Cina.
Bank Dunia memberi amaran sekiranya tidak ditangani segera, ia akan memperlahankan ekonomi dan membantutkan pembangunan negara.
Susulan laporan tersebut, Putrajaya mengambil langkah drastik menubuhkan TalentCorp dan memperkenalkan program untuk membawa pulang bakat ke tanah air. – 8 April, 2014 : The Malaysian Insider
Belum ada tanggapan untuk "Punca Ramai Rakyat Malaysia Enggan Pulang Bekerja Di Tanah Air"
Posting Komentar